Thursday, July 18, 2019
ASG: Azeem sedia gegar Semarang
Ketiadaan jurulatih tidak menghalang pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, untuk mengintai gelaran remaja terpantas Asia Tenggara apabila beraksi dalam empat acara Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019, bermula esok.
Jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah, tidak menyertai skuad olahraga ke Semarang, Indonesia, atas faktor peribadi.
Ini kerana pelari berusia 15 tahun itu mendapat sentuhan Mohd Poad Kassim yang memiliki rekod cemerlang dalam melahirkan beberapa jaguh handalan negara seperti Khairul Hafiz Jantan.
Walaupun tanpa jurulatih asal, ia tidak menjejaskan tumpuan Azeem memburu empat emas.
"Saya nak menang.
"Saya nak tebus kekalahan dalam 200m tahun lepas ekoran masalah hamstring.
"Saya cuba merampas kejuaraan dan walaupun jurulatih, Amir, tidak dapat ikut serta, saya mahu membanggakannya dari jauh," katanya.
Sementara itu, Poad, berpendapat sedikit sentuhannya dalam persiapan terakhir mampu membantu persembahan Azeem.
"Saya membantu memperbaiki beberapa kelemahannya daripada segi permulaan perlumbaan.
"Saya yakin Azeem tiada masalah untuk memenangi acara 100 dan 200m berdasarkan prestasi atlet dalam lingkungan usia 17 tahun," jelas jurulatih itu.
Atlet kelahiran Perak itu, yang bakal buat penampilan kedua dalam ASG, akan beraksi dalam acara 100, 200, 4x100 dan 4x100m campuran.
Dia akan memulakan cabaran dalam 4x100m campuran, esok, apabila bergandingan bersama-sama
Mohd Arshad Saad, Fatin Md Nayan dan Nur Alia Abd Rahman.
Sumber : stadiumastro.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Insha Allah
ReplyDelete