Wednesday, July 25, 2018

(STADIUM ASTRO) ASG: Ilham raih emas keempat




Atlet pecut remaja negara, Muhammad Ilham Suhaimi, terus menggegar balapan apabila membantu Malaysia meraih emas dalam acara 4x400 meter Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN Ke-10 di Bukit Jalil, hari ini.

Ilham sebelum ini sudah meraih tiga emas dan untuk acara hari ini, dia sekali lagi menjadi elemen penting kejayaan kuartet Malaysia.

Malaysia yang membariskan Wan Muhd Fazri Wan Zahari, Rusleen Zikri Putra, Aftar Rosli serta Ilham bermula dengan baik apabila memberikan tentangan sengit kepada Thailand dan Indonesia, namun memasuki pelari keempat, Ilham mengatasi pelari Indonesia untuk meraih emas.

Lebih manis, kuartet remaja negara ini memperbaharui rekod kejohanan dengan catatan 3 minit 13.05 saat.

"Saya berjaya bangkit mengatasi wakil Indonesia untuk meraih emas dan sangat gembira di atas pencapaian ini," kata Ilham.

Sebelum itu, kuartet wanita negara turut bersaing, namun gagal menempatkan diri dalam kelompok terbaik dan sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh. Emas milik Vietnam sementara Thailand meraih perak manakala Filipina membawa pulang gangsa.

Dalam acara lompat bergalah pula, wakil Indonesia terlalu sukar untuk ditandingi -- Malaysia sekadar berpuas hati meraih gangsa menerusi Muhammad Naufal Sharul Afzan dengan catatan 4.50m.

"Kecewa kerana gagal melakukan catatan terbaik. Saya akan berusaha meningkatkan lagi mutu lompatan untuk beraksi cemerlang dalam kejohanan akan datang," kata Naufal.

Berita asal : www.stadiumastro.com

No comments:

Post a Comment