Sunday, July 22, 2018

(Stadium Astro) Olahraga ASG: Kesilapan teknikal ragut emas Aiedel


Hanya perbezaan 0.03 saat menafikan hasrat pelari pecut remaja negara, Muhammad Aiedel Saadon, untuk mengungguli acara 100 meter  Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. 

Aiedel meraih pingat perak bagi acara reben biru itu dengan catatan masa 10.88s tatkala pelari dari Indonesia, Adi Ramli Sidiq, menjuarai saingan itu dengan 10.85s.

Nyata, ia bukanlah aksi terbaik pelari dari Melaka itu apabila sasarannya adalah ingin mengatasi rekod peribadi, 10.57s, yang dicipta dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) tahun lalu.

"Saya banyak melakukan kesilapan dari segi teknikal. Jadi, saya ingin meminta maaf kepada rakyat Malaysia. 

"Saya bertekad untuk melakukan yang lebih baik lagi dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak nanti," ujar Aiedel. 

Taruhan seterusnya untuk anak buah Mohd Poad Md Kassim itu adalah dalam Sukma Perak pada September depan demi membuktikan dia layak untuk beraksi dalam acara 100m apabila sekadar diletakkan selaku atlet simpanan pada edisi lalu di Sarawak.

"Kalau Khairul Hafiz Jantan tidak bertanding dalam acara 100m, pasti saya tidak akan membenarkan atlet negeri lain memenanginya. 

"Insya-Allah saya akan berusaha yang terbaik untuk Melaka. 

"Sekiranya bebas daripada kecederaan, saya berkemungkinan akan menyertai Terbuka Kuala Lumpur, namun masih belum ada sebarang perkembangan (baru) lagi," katanya.

Namun, Aiedel berpeluang menebus kehampaannya apabila akan beraksi bagi 4x100 meter pula esok yang menjadi acara terakhirnya dalam ASG edisi ini.

Berita asal : stadiumastro.com

No comments:

Post a Comment