Tuesday, July 23, 2019

11th ASG - Day 5 Medal Tally & Malaysia's Medalists











HARI 5 - RANGKUMAN BOLA KERANJANG

ASG: Pesilat Negara Akhiri Kempen Tanpa Emas


Skuad silat negara menamatkan cabaran tanpa sebarang pingat emas dalam Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (ASG) 2019 selepas harapan terakhir, Ummi Zaite Jabariah Hassan, tewas di Semarang, Indonesia, pagi tadi.

Meskipun beraksi baik dalam separuh akhir ketika menewaskan wakil Filipina, dia gagal mengulangi rentak itu apabila tumbang 0-3 kepada wakil tuan rumah dalam aksi final kelas puteri D bawah 55kg.

Dia cuba mengalahkan lawannya menerusi beberapa teknik sapuan dan tendangan sisi, namun gagal menewaskan lawannya yang lebih lincah. 

Situasi itu secara tidak langsung meranapkan misi negara yang menyasarkan tiga emas, yang menyaksikan kontinjen pesilat negara menamatkan cabaran dengan empat perak dan empat gangsa. 

Sementara itu, harapan terakhir skuad sepak takraw negara untuk merangkul emas melalui acara regu semakin kabur apabila sedang ketinggalan kepada Thailand dalam perlawanan akhir di Dewan Sukan Unika Soegija Pranata.

Terdahulu Malaysia mempamerkan aksi meyakinkan dalam suku akhir bertemu Indonesia, disusuli aksi separuh akhir dengan Filipina.


Stadium Astro

ASG: Izmi Puji Alet Walaupun Gagal Capai Sasaran



Chef-De-Mission (CDM), Izmi Ismail, tetap bangga dengan kontinjen Malaysia walaupun gagal mencapai sasaran 24 pingat emas dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 di Semarang, Indonesia.

Kesungguhan atlet di pentas ASG edisi ke-19 selaku juara bertahan keseluruhan harus diberikan pujian walaupun gagal mencapai sasaran 24 emas.

Atlet negara bermula dengan perjalanan yang berliku apabila tiba di Semarang hanya beberapa jam sebelum bermulanya perlawanan, namun masih berjaya menyumbang 78 pingat.

Izmi juga berbangga dengan semangat dan disiplin yang ditunjukkan kontinjen negara bagi mempertahankan status juara keseluruhan.

"Sepanjang pemantauan saya di sini, saya lihat mereka bersungguh-sungguh. Kami perlukan latihan dan pendedahan yang banyak," katanya.

"Untuk edisi kali ini, kami mempersiapkan diri selama seminggu. Dalam tempoh itu, banyak pertandingan kami adakan dan saya rasa itu salah satu cara untuk memberi keyakinan kepada atlet semasa bertanding. Saya juga lihat mereka menerima tekanan yang cukup hebat."

Berdasarkan sasaran itu, skuad olahraga negara menjadi taruhan terbesar untuk meraih pingat emas terbanyak, namun pasukan renang yang lebih menyinar apabila mengutip emas terbanyak dengan 11.


Stadium Astro

ASG: Ummi Gembira Banggakan Nama SSMT





Pingat perak di pentas Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 cukup bermakna untuk pesilat negara, Ummi Zaite Jabariah Hassan, kerana ia penanda aras baru untuk Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) yang mempunyai dua wakil ke temasya itu.

Ummi menggalas harapan tinggi ketika beraksi dalam final kelas Puteri D bawah 55kg menentang pesilat tuan rumah, Atifa Fismawati Rani.

Dia dan rakan sepelatih, Muhammad Afifi Nazri, menjadi kumpulan pesilat pertama SSMT yang terpilih ke ASG, sekali gus akan membuka laluan kepada pelapis mereka.

Pesilat berusia 17 tahun itu beraksi baik, namun sukar menahan asakan Atifa yang memiliki saiz lebih besar dan tangkas sebelum akhirnya tewas 5-0.

"Saya harap ini adalah satu hadiah penghargaan yang besar untuk sekolah. Saya harap SSMT dapat melahirkan lebih ramai atlet silat dan mewakili Malaysia," katanya.

Malaysia yang dibarisi ramai pesilat berusia 16 dan 17 tahun menamatkan cabaran dengan empat pingat perak dan empat gangsa.

Ia bermakna skuad kendalian Shahrul Fahmi Abu Bakar itu gagal mencapai sasaran tiga emas.

"Memandangkan pertandingan di sini menyaksikan misi gagal walaupun secara keseluruhan, pengadilannya tidak menyebelahi Malaysia tetapi saya terima kekalahan ini," ujar Shahrul.


Stadium Astro

ASG: Futra Puas Walaupun Gagal Atasi Thailand


Pengendali skuad sepak takraw negara, Mohd Futra Abdul Ghani, tetap berbangga dengan anak buahnya meskipun menamatkan saingan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 dengan kutipan satu pingat perak dan satu gangsa.

Dalam aksi regu, skuad kebangsaan gagal meraih emas pertama apabila tewas 2-0 ketika menentang Thailand tatkala lawan yang dibarisi Teerathep Yansiri, Phichitpong Chakia dan Natthapon Jamratnaw itu jelas lebih ampuh berbanding wakil Malaysia yang terdiri daripada Mohammad Faisal Mohammad Fuad, Noramirul Zarawi dan Afif Jazmin Zainal Abidin.

Set pertama menyaksikan Thailand dengan mudah menguasai perlawanan apabila menang 21-11 dan walaupun skuad negara mempamer kebangkitan dan mengikat kedudukan 17-17 dalam set kedua, ia tidak mampu mengelak daripada kekalahan 21-17.

"Sasaran memang kami tidak dapat raih. Namun, kami masih berjaya meraih perak untuk acara antara regu. Kami beri tentangan kepada Thailand," kata Futra.

Sebelum itu, Malaysia beraksi dengan cemerlang dalam aksi suku akhir apabila berjaya menewaskan Indonesia dan Filipina dalam separuh akhir.


Stadium Astro