Tuesday, July 23, 2019
ASG: Olahraga tetap positif gagal capai misi
Skuad olahraga negara tidak perlu kecewa gagal mencapai sasaran 10 pingat emas dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 berikutan prestasi di Semarang, Indonesia, umpama pelaburan yang bakal membuahkan hasil dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
Enam emas, sembilan perak dan 11 gangsa meletakkan Malaysia di tangga keempat kedudukan pingat olahraga.
Ia menunjukkan kemerosotan berbanding 10 emas yang diraih dalam kempen di Selangor tahun lalu.
Namun, apa yang penting, kemunculan beberapa atlet masa depan seperti pelari pecut berusia 15 tahun, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang meraih emas 200m serta perak dalam acara 100 dan 4x100m.
Begitu juga dengan Jonah Chang apabila memenangi emas menerusi acara lontar peluru dan perak untuk baling tukul besi.
Kedua-dua atlet itu dijangka mampu menyumbang enam emas dalam temasya di Filipina, tahun depan.
"Semua catatan saya di sini agak jauh daripada rekod peribadi sendiri tetapi apa yang boleh saya katakan, banyak pengalaman yang diraih kali ini dan saya pasti akan berikan persembahan yang lebih baik dalam edisi akan datang," ujar Azeem.
Jonah pula berikrar untuk terus meningkatkan prestasinya dengan melaungkan: "Saya baru berusia 16 tahun dan bagi saya, apa yang penting adalah semangat.
"Saya harap dapat menyertai tiga acara pada tahun depan."
Sementara itu, ketua jurulatih olahraga ASG negara, Mohd Poad Kassim, tetap positif dengan perkembangan sukan negara.
"Ini merupakan pencapaian terbaik negara di luar Malaysia.
"Ada atlet yang menunjukkan peningkatan tetapi dalam masa yang sama, pencabar yang lain juga ada yang beraksi lebih baik daripada atlet negara," katanya.
Sumber : stadiumastro.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment